REALITI UMNO

Rabu, 25 Mac 2009

Dr Khir terima jaket mahal dari Balkis

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menerima hadiah mahal bernilai RM3,600 daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) pada 2004 ketika memimpin negeri itu.

Jaket jenama 'Summer Man' itu dihadiahkan oleh Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) – ketika itu diketuai isterinya Zaharah Kechik – menggunakan dana sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu sempena satu majlis sambutan Tahun Baru Cina.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Khairiah Abu Hassan mendedahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Khas untuk Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) – badan khas yang ditubuhkan di DUN Selangor – yang menjalankan siasatan awam terhadap dana Balkis.

Dalam siasatan yang masuk hari kedua, beliau disoal lima anggota Selcat: pengerusinya Teng Chang Kim, Haniza Talha (PKR-Taman Medan), Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang) dan Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing).

Dua lagi anggota Selcat, Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua) tidak hadir. Kedua-duanya hadir sesi pagi pada hari pertama, semalam.

Khairiah menjelaskan, PNSB menaja cenderahati berjumlah RM4,200 kepada Balkis, termasuk harga jaket dan bayaran keraian bagi sambutan majlis itu.

Tambahnya, beliau tidak tahu sama ada bekas menteri besar itu pernah memulangkan hadiah itu dan tidak pula menyedari pernah melihat Dr Mohamad Khir, yang juga pengerusi PNSB, memakainya.

Apabila jawatankuasa itu mempersoalkan tindakan PNSB memberikan hadiah kepada penjawat awam – yang didakwa melanggar perintah am pegawai kerajaan - Khairiah menjawab:

"Ketika itu saya hanya pelaksana sahaja".

Dalam siasatan sesi pagi, Khairiah berkata beliau mempunyai hubungan "agak akrab" dengan Zaharah tetapi apabila disoal kembali oleh anggota Selcat, beliau menukar jawapannya kepada "akrab".

Beliau juga menjelaskan, PNSB pernah membayar RM13,000 kepada Abdul Malik Kechik, saudara kandung isteri Dr Mohamad Khir, untuk pakej jamuan dan nyanyian dalam satu majlis berbuka puasa pada September 2006.

Diminta menjelaskan lanjut, Khairiah tidak pasti sama ada Abdul Malik seorang abang atau adik Zaharah.

Apabila disoal lagi, beliau tidak dapat menjelaskan kewajaran acara itu di majlis tersebut kerana gagal mengenal pasti identiti penyanyi tersebut berdasarkan rekod yang ada.

Siasatan awam Selcat hari ini memperhalusi sumbangan sejumlah RM5 juta PNSB kepada Balkis bagi tempoh 2002 hingga 2007.
Setakat jam 4.30 pagi petang ini, apabila siasatan ditangguhkan untuk sesi esok, tajaan sehingga tiga tahun lepas telah selesai disemak.

Teng, juga Speaker DUN, berkata Selcat akan memanggil saksi tambahan daripada PNSB bagi membantu keterangan.

Khairiah tampil sebagai saksi yang ditemani pembantu paling ramai iaitu seramai empat orang, berbanding seorang sahaja pegawai atasan GLC lain semalam.

Siasatan awam itu, yang berlangsung di Pejabat DUN Selangor di Shah Alam, bersambung 10 pagi esok.

0 comments:

 
PKR-Puchong - © 2007 Template feito por Templates para Você