REALITI UMNO

Rabu, 25 Mac 2009

PPSMI: Sasterawan negara disiasat polis

Polis mengambil keterangan beramai-ramai barisan pemimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) berhubung perarakan ke Istana Negara bagi membantah dasar kontroversi itu pada 7 Mac lepas.

Tiga pegawai penyiasat kes tersebut bertemu dengan lapan pemimpin NGO itu, termasuk penasihatnya Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, timbalan pengerusi Dr Shaharir Mohd Zain dan profesor bahasa Dr Abdullah Hassan.

Soal siasat itu diadakan di Rumah PENA, Kuala Lumpur selama sejam mulai 3.30 petang ini.

Ditemui Malaysiakini selepas memberikan keterangan, A Samad berkata beliau tidak memberikan banyak maklumat atas nasihat peguam.

"Saya dinasihatkan oleh peguam agar tidak memberikan maklumat melainkan jika ia diperlukan di mahkamah," katanya.

Seperti juga novelis itu, Abdullah turut dinasihatkan oleh peguam agar tidak banyak memberi kenyataan kepada polis.

"Saya beritahu polis bahawa kenyataan selebihnya akan diberi di mahkamah jika kami dipanggil memberi kenyataan di sana," katanya.

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa GMP Ainon Mohamad berkata, soalan-soalan polis itu terbahagi dua kategori.

"Pertama, mereka bertanyakan maklumat latar belakang saya. Kedua, mereka bertanya tentang demonstrasi 7 Mac lalu.

"Ada 14 soalan semuanya. Saya dapat lihat soalan-soalan itu kerana ia tercatat pada kertas yang dipegang polis," katanya.

Polis telah mengambil keterangan Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad dalam satu pertemuan di pejabatnya di Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Sebelumnya GMP mengadakan sidang media di tempat yang sama, menjelaskan pertemuan mereka dengan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khamis lepas berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Dr Hassan menegaskan "tiada kompromi" antara NGO itu dengan menteri berkenaan walaupun dipaparkan di media kedua-dua pihak tersenyum selepas keluar dari pejabat Hishammuddin.

Ketika disoal mengenai isi perbualan yang menyebabkan mereka tersenyum, A Samad menjelaskan, ia berkaitan sebuah puisi karangan Usman Awang yang dibingkaikan dan tergantung di pejabat Hishammuddin.

"Usman mengabadikan sebuah puisi khas kepada Hishammuddin, dan hal itu menimbulkan kelucuan antara kami.

"Jadi, bukan senyum dan ketawa itu membayangkan bahawa ada tolak ansur antara kami berhubung hal pemansuhan PPSMI," kata pengarang Salina.

0 comments:

 
PKR-Puchong - © 2007 Template feito por Templates para Você