REALITI UMNO

Rabu, 12 Ogos 2009

Pak Samad usul demo anti-PPSMI


Datuk A Samad Said akan mengutarakan cadangan berdemonstrasi sekali lagi bagi mendesak pemansuhan serta-merta dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam satu mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) hujung minggu ini.

"Ya, memang cadangan asalnya dari mulut saya. Saya akan lontarkan saja," kata sasterawan negara itu kepada Malaysiakini petang ini.

"Kalau dituntut (berdemo) dan atas sebab-sebab yang munasabah dan luhur, apa salahnya."

Beliau, juga popular dengan panggilan Pak Samad, diminta menjelaskan cadangannya agar perhimpunan besar diadakan bagi kali kedua sebaik sahaja pengumuman Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin memansuhkan dasar itu mulai 2012 awal bulan lalu.

Pak Samad menambah, terpulanglah kepada ahli jawatankuasa GMP untuk memutuskannya kerana beliau hanya bertindak sebagai penasihat gabungan NGO dan parti pembangkang itu.

Ditanya tujuan mesyuarat itu diadakan, beliau berkata:

"Mesyuarat ini diadakan ekoran perkembangan baru PPSMI yang pada mulanya dikatakan akan dimansuhkan pada 2012, nampaknya mula ditarik-tarik (dilengahkan) ke 2014, atas alasan untuk menghabiskan apa yang telah dimulakan.

"Saya memang tidak berapa senang atas alasan itu."

Beliau juga berkata, jika kerajaan mahu, dasar itu boleh dimansuhkan dalam tempoh enam bulan sahaja, seperti mula-mula diperkenalkan pada 2003.

Pada 7 Mac lalu, A Samad dan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad mengetuai ribuan penunjuk perasaan bagi menyatakan bantahan mereka terhadap dasar itu.

Walaupun dilarang polis, dengan berpakaian putih, penunjuk perasaan berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong.

Pada hari PPSMI diumumkan bakal dimansuhkan mulai 2012, sasterawan negara itu mencadangkan satu lagi demonstrasi diadakan keputusan disifatkannya "bukan memansuhkan terus PPSMI tetapi menangguhkan PPSMI."

Beliau dipetik berkata "demonstrasi jalan raya perlu diadakan sekali lagi tanda komitmen seluruh rakyat membantah PPSMI dan mendesak kerajaan segera memansuhkannya."

"Setiap perkara yang tidak dapat diselesaikan di dalam Dewan Rakyat perlu diadakan demonstrasi dan demonstrasi itu halal," A Samad dilaporkan berkata dalam satu wawancara.

0 comments:

 
PKR-Puchong - © 2007 Template feito por Templates para Você