REALITI UMNO

Isnin, 10 November 2008

Kenyataan Anwar Ibrahim berkenaan pembebasan Raja Petra

10 November 2008 Rakyat Malaysia hari ini meraikan kemenangan dengan bebasnya Raja Petra dari tahanan ISA. Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang tidak berpihak kepada Kementerian Dalam Negeri telah menunjukkan betapa Akta Keselamatan Dalam Negeri sudah usang dan tidak layak lagi digunapakai. Saya memuji mahkamah kerana berani untuk menjadi benteng pelindung kepada rakyat bila berhadapan dengan kerakusan penguasa. Komitmen hakim tersebut untuk memastikan keadilan terlaksana membolehkan Raja Petra mengecapi kembali kebebasan yang sememangnya menjadi hak rakyat Malaysia.

Keputusan ini membuktikan kerajaan sekarang tidak layak untuk memerintah. Kerana keangkuhan, kerajaan sekarang tidak menghiraukan hasrat rakyat yang mahukan demokrasi, kebebasan dan menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang.

Kepimpinan BN terutamanya para menteri kabinet sepatutnya menginsafi kesalahan mereka kerana menyokong penggunaan ISA dan terus menerus bertindak zalim ke atas Raja Petra, individu-individu yang masih ditahan tanpa dibicara dan para keluarga mereka.

Ahli parlimen yang bertindak mendiamkan diri terhadap saranan Pakatan Rakyat yang mahukan wacana serta perdebatan serius bagi menghapuskan ISA, wajar mempertimbangkan semula pendapat mereka. Keputusan mahkamah hari ini membuka peluang buat semua ahli parlimen untuk maju ke hadapan bagi menghapuskan undang-undang kuku besi ini.

Ramai yang masih ditahan oleh undang-undang kuku besi ini, termasuklah ahli-ahli Hindraf dan individu-individu tertentu yang ditahan kerana dituduh terlibat dengan Jemaah Islamiyah. Mereka semua berhak untuk dibicarakan dengan adil. Saya mengulangi gesaan agar semua tahanan ini dibebaskan dan sebarang tuduhan mestilah dibuktikan di mahkamah.

ANWAR IBRAHIM

Kenyataan Menteri Besar Selangor Berkenaan Perlantikan Pengurus Besar Sementara PKNS

29 Oktober 2008 Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato' Hj Harun Salim bersara pada hujung Oktober ini dan YAB Menteri Besar Selangor, selaku Pengerusi PKNS, menerima persaraan beliau. Sehubungan itu, Menteri Besar, setelah mengambil kira kepentingan semasa, bersetuju melanjutkan tarikh persaraan Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun Puan Low Siew Moi, selama satu tahun dan melantik beliau memangku jawatan Pengurus Besar Sementara PKNS. Puan Low, yang sudah 35 tahun berkhidmat di PKNS, iaitu selama 11 tahun berjawatan Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun, yang bertanggungjawab menerajui bahagian korporat, kewangan dan pengurusan aset, dilihat sebagai calon paling sesuai memangku secara sementara waktu jawatan terpenting di PKNS.



Dengan persaraan Dato' Hj Harun, Menteri Besar, yang juga pernah mengetuai syarikat swasta, berpendapat persaraan serentak dua pegawai kanan tersebut tidak boleh menjamin penerusan pentadbiran yang berkesan (effective continuation of the management). Oleh sebab itu, beliau meminta Puan Low agar menangguhkan persaraan dan sebaliknya berkerjasama dengan ahli lembaga pengarah PKNS bagi menerajui urusan pentadbiran PKNS sehingga calon yang sesuai dilantik mengisi jawatan Pengurus Besar.


Kita bersyukur kerana Puan Low, yang berpengalaman dan dedikasi, bersetuju menyatakan kesediaan beliau menjalankan tugas tersebut, dan pada masa sama lembaga pengarah PKNS berusaha mendapatkan Pengurus Besar yang berkaliber, berwibawa, beretika dan berkebolehan untuk membawa perbadanan itu ke era baharu. Dalam hal ini, Puan Low mengakui agar peneraju PKNS yang baharu mestilah seorang Bumiputera yang profesional dan mempunyai pengalaman dalam pembangunan hartanah, pembangunan semula dan disegani oleh komuniti hartanah.


Menteri Besar juga berpendapat yang pengalaman Puan Low amat berguna bagi membantu Kerajaan Negeri melaksanakan penyusunan semula dalam operasi dan aktiviti PKNS yang bukan sahaja beraspirasi untuk menjadi antara organisasi yang terbaik di rantau ini tetapi juga dalam usahanya memulakan projek pembangunan semula perumahan baharu (re-development of new townships) di Petaling Jaya, Kajang dan Kelang.


Perlu ditegaskan, pencarian calon Pengurus Besar PKNS dalam kalangan pegawai kanan yang sedang berkhidmat PKNS sudahpun diusahakan. Namun, ada beberapa sebab tentang perlunya juga kita mencari calon di luar PKNS. Antara sebabnya, PKNS berkehendakan pegawai yang profesional dalam aspek hartanah, di samping mempunyai kelayakan dalam bidang pengurusan hartanah, kejuruteraan, seni bina atau jurunilai untuk mengetuai PKNS memulakan projek pembangunan semula sebagaimana dinyatakan di atas.


Kami juga mendapati terdapat unsur "conflict of interest" dalam struktur PKNS itu sendiri apabila terdapat sekumpulan pegawai kanan memegang saham 30% dalam anak syarikat PKNS, iaitu PKNS Infra Sdn Bhd.


Setelah membuat pemeriksaan terhadap rekod PKNS selama 44 tahun ini, kami amat kesal apabila mendapati pengalaman PKNS dalam usaha memartabatkan kaum Melayu dalam bidang peniagaan, khususnya dalam bidang pembangunan hartanah, amat tidak membanggakan. Ini disebabkan lebih 75% daripada projek yang dilaksanakan diberi kepada syarikat bukan Melayu baik secara langsung mahupun tidak secara langsung.


Perlu ditegaskan, Kerajaan Pakatan Rakyat amat mementingkan pentadbiran secara telus dan bertanggungjawaban (transparency and accountability) dan berpendapat PKNS perlu mengubah corak pentadbiran supaya menghayati dan melaksanakan kepentingan ini.


Kami dapati akaun yang sedia ada tidak mencerminkan gambaran yang betul tentang operasi perbadanan tersebut. Sebagai contoh, mengikut laporan akaun tahun 2007, Pengerusi PKNS mendakwa perbadanan tersebut berjaya dalam perniagaan pembagunan hartanah setelah mengaut untung sebayak RM500 juta. Namun setelah disemak, didapati 50% keuntungan tersebut berbentuk "extra-ordinary items" (hasil pendapatan luar biasa). Berkaitan dengan pengumuman keuntungan tersebut, turut diperlihatkan keputusan yang meragukan apabila PKNS menghadiahkan RM100,000 kepada mantan Pengerusi PKNS, yang juga bekas Menteri Besar Selangor, sebagai bonus terhadap kejayaan PKNS memperoleh "keuntungan" tersebut.


Lebih parah lagi, kami dapati terdapat beberapa aktiviti dan keputusan perniagaan (business decision) yang dibuat bukan berdasarkan keperluan PKNS tetapi keperluan politik kerajaan yang terdahulu! Perkara ini sudahpun diakui oleh Pengurus Besar sekarang dan Puan Low bersedia bekerjasama dengan lembaga pengarah PKNS bagi mengenal pasti perkara yang dibetulkan yang sekali gus membaiki pentadbiran perbadanan itu.


Sesungguhnya, tindakan yang radikal perlu dilakukan bagi "membersihkan" PKNS supaya ia betul-betul mencapai matlamat asal untuk memberi fokus kepada perniagaan pembangunan hartanah yang diceburi, di samping meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat terutama kalangan masyarakat Melayu yang mahu berkerja keras dan berusaha tanpa ihsan daripada mana-mana pihak.


DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM

 
PKR-Puchong - © 2007 Template feito por Templates para Você