REALITI UMNO

Jumaat, 13 Mac 2009

Pidato Kebangsaan 2009, “Ke arah bangsa. Rakat Yang Berjiwa Besar”


PDF Emel
08 Mac 2009
Alhamdullillah dan kita bersama. Hari ini kita mengingati keputusan rakyat yang dibuat setahun yang lalu. Pada 8 Mach 2008, rakyat adalah lebih bijak dari peramal, dukun dan pawang politik. Segala tukang tenung politik ini meramalkan Barisan Nasional akan menang besar dan pencabar mereka akan kecundang. Dan sebahagian besar tukang ramal ini, ada yang duduk di menara gading, ada yang menelik dari bangunan media, diupah oleh pemerintah untuk meramalkan kemenangan besar. Dengan ramalan tersebut mereka berharap rakyat akan ghairah menyokong pemerintah.



Jentera dan dana yang digunakan oleh Barisan Nasional menggerunkan. Parti-parti Pakatan Rakyat, Keadilan, DAP dan Pas, terpaksa berentap dengan segala kekurangan jentera dan tekanan. Kita dihujani dengan pelbagai fitnah dan sekatan. Namun dengan segala keterbatasan tersebut rakyat telah menyebelahi kita, dan membuka lembaran baru dalam politik Malaysia.

Maka sempena setahun peristiwa tersebut marilah kita ulangi ucapan penghargaan setingginya kepada rakyat Malaysia:

1. Terima Kasih Rakyat Malaysia

2. xie xie ma lai xi ya ren min

3. Malaysia makkal ellarukkum romba nandri

4. terima kase' mangoh ngau rakyat Malaysia

Dengan amanah diberikan rakyat 82 ahli parlimen Pakatan Rakyat telah menggoncang parlimen. Dalam Pemasyuran Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman (1957) menyebutkan bahawa Malaysia, ketika itu Persekutuan Tanah Melayu, akan menjadi sebuah negara demokrasi mengikut cara parlimen. Parlimen adalah berdaulat dan tempat suara rakyat bergema. Parlimen adalah institusi untuk menjaya dan melaksanakan prinsip ketuanan rakyat. Kita mahu parlimen benar-benar menyuarakan hasrat rakyat, membahaskan kepentingan rakyat.

Pada 13 Oktober 2008, ketika membahaskan Belanjawan Negara yang dibentang oleh Perdana Menteri yang ketika itu Menteri Kewangan, saya telah menolak belanjawan tersebut kerana tidak mengambil kira iklim ekonomi dunia yang meleset parah berikutan krisis ekonomi Amerika Syarikat. Kita meminta kerajaan mengambil pendekatan baru yang lebih drastik untuk mengelakkan ekonomi Malaysia dari merudum. Tetapi menteri kewangan dahulu dan menteri kewangan sekarang terus menafikan malah sering mengulangi bahawa asas ekonomi Malaysia kukuh. Hanya dua minggu yang lalu Menteri Kewangan mengatakan tiada siapa yang menjangkakan ekonomi Malaysia akan menghadapi masalah ekonomi seteruk sekarang.

Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat akan melakukan apa saja di parlimen untuk memastikan persoalan rakyat didengar dan diselesaikan. Kita telah berulang kali menyebutkan mutu pendidikan kita yang merosot, kos kesihatan yang meningkat, harga barang yang melambung tinggi dan pengurusan masalah yang tidak bersepadu dan pentadbiran yang kucar kacir.

Sepuluh tahun telah berlalu sejak meletusnya gerakan Reformasi, satu gerakan yang berlandaskan keinganan yang disebut dalam al-Qur'an melalui doa Nabi Syuaib -wa ma uridu illa islah mastat'tum -sesungguhnya yang aku inginkan adalah melakukan islah- pembaharuan, reformasi - dengan segala daya dan segala upayaku.


Islah berasal dari kata 'salaah' seperti yang dihuraikan oleh ahli bahasa, pembuat kamus, Ibnu Manzur, sebagai lawan kepada 'fasad', kebejatan. Maka gelombang kebangkitan rakyat sejak 10 tahun yang lalu adalah untuk melawan kebejatan, melawan kebejatan pemerintah, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mahkamah dan institusi kehakiman dibentuk agar berlakukannya tata hukum dan keteraturan yang adil dalam negara. Tetapi rakyat menyaksikan bagaimana mahkamah dinodai untuk mencapai nafsu dan cita-cita kotor pemerintah. Maka rakyat bangun menuntut mahkamah dan sistem kehakiman dibersihkan dari noda kuasa pemerintah. Sehingga hari ini rakyat terus memperjuangankan cita-cita ini. Peguam-peguam kita terus berhujah dimahkamah, mengemukakan hujah undang-undang dan budibicara agar mahkamah berdiri di atas prinsip hukum dan keadilan. Rakyat telah menyaksikan beberapa hakim-hakim yang berani, rakyat juga menyaksikan hakim-hakim yang tunduk kepada arahan dan tekanan mereka yang berkuasa.

Suara yang sudah sekian lama dibungkam dan ditindas, tidak sanggup lagi untuk berdiam diri. Mereka turun ke jalan raya, bukan kerana mereka mahukan kekerasan, mereka mahu suara didengari. Mereka menuntut hak mereka yang sememangnya termaktub di dalam Perlembagaan. Sepuluh tahun itu penuh getir tapi tidak pernah padam hasrat agar perubahan akan terlaksana.

Sebelum ini kita berjuang, menggarap kefahaman akan apa sebenarnya erti perubahan itu, akan makna reformasi itu. Kita menentang rasuah dan ketidakadilan. Kita menuntut agar kehakiman bebas, kita mahu pendidikan serta kebudayaan dimartabatkan. Kita mahu pengurusan ekonomi yang cekap, tadbir urus yang beramanah dan berwibawa. Kita impikan sebuah negara yang makmur untuk semua.

Perjuangan kita berpaksikan ketuanan rakyat. Makanya pakatan yang kita cetuskan bersama selepas Pilihanraya Umum 12 (PRU) itu dinamakan Pakatan Rakyat. Kita kini mempunyai kesempatan untuk mengotakan apa yang sering kita dilaungkan. Kita sekarang wajib untuk menunjukkan wibawa kita kepada rakyat yang bukan sedikit meletakkan harapan kepada kita. Ini lah waktunya untuk kita menunjukkan apa yang sebenarnya menjadi pemisah di antara kita kerajaan di dalam Pakatan Rakyat dengan mereka Barisan Nasional.

Di dalam negeri-negeri PR kita telah membawa Agenda Ekonomi Malaysia kepada rakyat. Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri yang memberikan penghidupan yang lebih baik kepada rakyat dalam masa setahun. Iltizam kita untuk melaksana tata urus, governance, yang baik tidak boleh dinodai. Kita menyaksikan ianya dilaksanakan di negeri-negeri yang kita perentah. Kontrak diluluskan dengan lebih cekap dan telus. Tender adalah terbuka, cara memberi kontrak dalam gelap dan tempat ahli politik mengaut rasuah dari wang rakyat, sebagaimana yang dilakukan oleh pemerintahan BN, telah berlalu. Kita tidak berkompromi sama sekali dengan rasuah, dan kita telah menjimatkan ratusan juta wang rakyat. Kita telah memberikan peluang yang lebih kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana terutamanya kepada Bumiputera.

Kerajaan Negeri Kedah dibawah pimpinan Dato’ Seri Ustaz Azizan dan Negeri Kelantan dibawah Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah meningkatkan keupayaan menjimat belanja mengurus dan mengagihkan dana kepada rakyat.

Kelantan umpamanya adalah negeri yang mempunyai kadar rasuah dan kadar jenayah paling rendah. Malah dengan hasil mahsul negeri yang relatifnya kecil mereka mampu menjana program kebajikan rakyat yang boleh diteladani. Di Pulau Pinang pelaburan meningkat dua kali ganda dalam setahun, di Perak meningkat kepada RM 3.4 billion. Pelaburan di Selangor mencacat tertinggi dalam 9 tahun, sebanyak RM 11.87 billion dan telah mencipta 30,000 pekerjaan baru untuk rakyat Malaysia.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim turut memberi tumpuan kepada program perumahan untuk rakyat terbanyak, memperbaiki sistem pengangkutan awam dan menangani kesesakan jalan yang semakin rumit.

Pentadbiran beliau telah menyediakan bekalan sumber, Zon Hijau untuk menjadikan bandar-bandar di Selangor lebih selesa didiami, dan mengikuti langkan Kelantan dalam melancarkan, untuk pertama kalinya skim takaful/insran untuk warga tua, di mana RM 40 juta diperuntukan bagi kemudahan kesihatan untuk seramai 365,000 warga tua.

Di Pulau Pinang, pelaburan asing dalam tahun 2008 berjumlah RM 10.2 billion, peningkatan 117% dari pemerintahan BN sebelumnya. Ini merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan memandangkan kemelesetan ekonomi telah melanda seluruh dunia sejak tahun lepas lagi. Kepimpinan Ketua Menteri YAB Lim Guan Eng dalam memandu ekonomi Pulau Pinang adalah mengikut landasan Ketelusan, Pertanggungjawaban dan Kewibawaan. Nilai-nilai ini telah membolehkan kerajaan negeri melatih dan memberi pekerjaan kepada ribuan rakyat. Menyedari langkah-langkah yang diambil mengambil masa untuk meningkatkan pendapatan kepimpinan Pakatan Pulau Pinang telah memberikan geran air berjumlah RM 17 juta kepada 170,000 rumah untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah di saat-saat getir ini.

Selangor dan Perak telah mengurangkan beban rakyat dizaman kemelesetan ini dengan memberikan air percuma kepada rumah-rumah termiskin. Kerajaan Perak telah memberikan geran tanah kepada keluarga-keluarga yang layak secara adil termasuk untuk Orang Asli, Melayu dan Cina. Kita wajar mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin atas kepimpinannya yang berwawasan kerana dengan tegas mempertahankan hak mereka yang miskin dan terpinggir.

Kita percaya bahawa sumbangan terpenting yang boleh kita lakukan adalah untuk pendidikan anak-anak. Kita mahukan generasi akan datang bersaing di dalam ekonomi serantau dan dunia. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat khususnya Selangor dan Kedah memberikan tumpuan dalam bidang pendidikan; memberikan prasarana untuk sekolah semua kumpulan etnik. Di Perak 1000 hektar tanah diberikan untuk sekolah agama rakyat dan sekolah jenis kebangsaan Cina.

Makna Ketuanan Rakyat

Apabila kita menyebut ketuanan rakyat yang kita maksudkan adalah demokrasi yang matang di bawah naungan raja beperlembagaan. Demokrasi yang matang adalah demokrasi dimana rakyatnya perkasa, jiwanya merdeka, akalnya pintar, tindakannya dipandu oleh prinsip moral dan idealisme. Demokrasi inilah yang kira perjuangan. Pohon demokrasi ini akan kita suburkan dengan pembinaan institusi-institusi masyarakat madani, media yang bebas serta bertanggjung jawab dan perlaksanaan undang-udang dengan seadilnya.

Rakyat yang merdeka jiwanya, tinggi akal budinya sentiasa mahukan keadilan untuk semua. Orang Melayu, Cina, India, Iban, orang Ulu mahu mahu membina Malaysia yang boleh mereka banggakan.

Tidak ada rakyat Malaysia yang sebegitu rendah akal budinya yang mahukan keluhuran perlembagaan dinodai dan kedaulatan undang-undang dicabul oleh gerombolan perasuah dan perompak harta rakyat.

Jesteru itu kita mahukan demokrasi yang matang, bukan demokrasi yang tempang, bukan demokrasi yang kakinya dipatahkan oleh mereka yang terus ingin berkuasa meskipun telah tidak lagi didukung oleh rakyat.

Persaudaraan Seluruh Manusia

Jangan kita bayang ketuanan rakyat ini berkaitan tentang kekuasaan semata-mata. Dalam konteks Malaysia, ketuanan rakyat perlu tegak di atas prinsip persaudaraan sesama manusia, tanpa mengira warna kulit, keturunan, agama dan kepercayaan. Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat kaya dengan kebudayaan disebabkan punya sebuah masyarakat berbilang kaum. Dengan mempunyai masyarakat yang berbilang kaum serta kefahaman agama dan budaya, sudah tentu ianya tidak dapat lari dari lahirnya perbezaan pendapat. Namun demikian, sekiranya segala perbedaan-perbedaan ini tidak dilihat dari sudut yang positif, ia berpontensi melahirkan sebuah situasi yang akan menjurus kepada konflik dan kekerasan.

Mereka yang tidak mengenali sejarah akan terperangkap di dalam seribu perbezaan sedangkan Al Quran al Karim menganjurkan konsep li ta'arafu; agar kamu saling kenal mengenal. Manakala bagi yang yakin dengan jatidiri mereka akan berusaha mengenali yang lain dan meraikan persamaan.

Confucius di dalam Lun Yu Buku ke 4 Bab Yuen Yuen ada menukilkan si hai zhi nie jie xiong di yang membawa maksud “empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara.”

Kita seharusnya menginsafi bagaimana sewaktu pemerintahan Kerajaan Ming, wujudnya penulis yang berupaya menulis serta memberi komentar mengenai agama Islam sehandal ulama muktabar dari Tanah Arab. Sekitar tahun 1642, Wang Daiyu(yang digelar Pemuka Agama Islam(Zhenhui Laoren) ketika itu) menulis Zhengjiao Zhenquan(Anotasi Asli Ajaran Murni(ortodoks)) hasil dari perbincangan dengan pemuka-pemuka ajaran Konfucius, Tao dan Buddhisme.

Karya perbandingan agama ini kemudiannya berulang kali diterbitkan semula sehinggalah yang terakhir pada tahun 1987.


Mewujudkan persaudaraan atau silaturrahim yang membawa maksud saling memberi kasih-sayang atau saling cinta, adalah kewajipan setiap umat beragama. Istilah ini kebiasaannya lebih cenderung digunapakai dalam hubungan keluarga,maupun kelompok. Namun ianya juga boleh diperluaskan dalam bingkai kemanusiaan. Dasar silaturrahim adalah persaudaraan, yang biasanya dirujuk dalam konteks persaudaraan sesama orang beriman (ukhuwah islamiyyah) ataupun merentang kepada persaudaraan sesama manusia.

Manakala diamati isi kandungan surah al-Hujurat (10):

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Ayat ini juga menggambarkan bahawa persaudaraan diantara orang-orang yang beriman secara teologinya adalah merupakan idaman terbesar umat islam. Tetapi makna surah tersebut hanya akan dicapai jika etika pergaulan antara manusia diwujudkan dengan tidak saling punya perasaan prejudis sesama sendiri.

Khalifah Ali Abi Talib apabila ditanya tentang apakah jenis persaudaraan antara orang Islam dengan bukan Islam. Beliau jawab "Akhukum fil Insaniah" - mereka, yang bukan Islam, adalah saudara kamu dalam kemanusiaan. Ianya jelas menggambarkan prinsip persaudaraan ini. Ungkapan Khalifah Ali ini adalah senada dan seirama dengan peribahasa Tamil: Ontre Kulam Oruvane Thevan (Satu Jiwa Kerana Kemanusiaan).

Patriotisme Sejati

Manusia memiliki adat,tradisi serta budaya yang berbeda adalah kerana dikurniakan anugerah besar yang bernama akal budi. Dengan akal budi inilah manusia mempunyai kepelbagaian daya cipta. Pada dasarnya, kebudayaan tersebut lahir dari tindakbalas sesebuah kelompok masyarakat diantara zaman dan lingkungannya. Oleh itu, setiap individu perlu memberikan penghargaan kepada kepelbagaian budaya itu dengan cara mengenalinya.Dengan itu,maka akan terbukalah kemungkinan untuk melakukan perpaduan dan kerjasama utuh,sehingga dapat membina budaya baru yang lebih baik serta berfungsi bagi menyelesaikan permasalahan-permasalahan kemanusiaan.

Fahaman ekstrem yang disebarkan oleh Umno bahawa negara ini adalah milik satu kaum sahaja sunguh tidak berasas. Mereka dengan sengaja memesongkan maksud sebenar falsafah negara kebangsaan itu demi kepentingan segelintir yang memerintah. Saya mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi kita merenung sekaligus menginsafi maksud sebenar falsafah negara kebangsaan itu yang dijelaskan oleh almarhum Dr Burhanuddin al Helmy dalam karyanya yang berjudul Falsafah Kebangsaan Melayu (1954):

“Kita hendak mendirikan negara kebangsaan Melayu di atas dasar kebangsaan, menurut keadilan dan kemanusiaan yang luas dan sama berhak dan adil, bukan sekali-kali kebangsaan yang sempit, jauh sejauh-jauhnya dari berbau perkauman dan perasaan kolot dan kuno.”

Demikianlah nada pejuang bangsa tulen, berbeda dengan nasionalis baru melalak isu perkauman secara sempit di samping mengaut keuntungan. Mana mungkin memperjuangkan kemurnian agama dan menzalimi yang lain. Fahaman yang sebegini jujur demi Bangsa dan Negara dipesongkan dan kini tibalah masanya kita memperbetulkannya. Kini tibalah masanya kita merebut kembali erti perjuangan kemerdekaan; perjuangan yang bertunjangkan Ketuanan Rakyat.

Perjuangan Bahasa Melayu

Ambil sahaja persoalan bahasa Melayu. Suatu ketika dahulu pelajar-pelajar sekolah menyanyikan lagu "Bahasa Jiwa Bangsa". Perjuangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kemudiannya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bukan sahaja perjuangan orang Melayu, tetapi satu perjuangan kebangsaan, perjuangan membentuk rupa bangsa Malaysia yang bersatu padu. Tetapi semalam mereka yang memperjuangan Bahasa Melayu ditembak dengan gas pemedih mata kerana mempertahankan usaha mengkhianati amanah mempertahankan bahasa melayu dan hak bahasa ibunda.

Penutup

Negara sekarang berhadapan dengan cabaran yang sugguh getir. Kita insaf dengan keadaan ekonomi yang menguncup dan kesan buruknya buat rakyat khususnya kalangan miskin. Pendekatan lama yang menangguk di atas keperitan hidup rakyat miskin yakni manakala pemerintah membantu meredakan sedikit beban rakyat tetapi tidak melepaskan rakyat dari putaran ganas kemiskinan.

Cara yang diamalkan selema ini dengan memberikan bantuan kecil untuk mengekalkan kebergantungan "dependency syndrome" untuk tujuap politik murahan perlu ditamatkan. Pendekatan harus berubah kepada kredit mikro umpamanya buat masyarakat Melayu, bumiputera dan rakyat miskin lainnya. Kita perlu melakukan anjarakan dalam dasar pembangunan desa dan pendekatan baru dalam menangani kemiskinan bandar.

Dasar membela rakyat termiskin dan terpinggir (alternative action) bukanlah untuk menjadikan mereka khadam terhormat tetapi harus menjurus ke arah membebaskan mereka dari kebergantungan. Maka kita diminta bersyukur dengan limpahan projek kecil tetapi dipadam kenyataan bahawa kos sara hidup yang meningkat.

Di depan mata kita adalah krisis ekonomi yang paling dahsyat dalam sejarah bangsa kita. Tetapi kita juga berdepan dengan rasuah, krisis undang-undang dan masalah hubungan kaum yang meruncing.



Segala krisis ini hanya boleh diselesaikan oleh rakyat. Maka rakyat perlu perkasa dan berjiwa besar yang menuntut pengurusan bersih dari rasuah dan kezaliman; mampu menjana ekonomi dan perihatin dengan penderitaan rakyat.

Perhatikan saja hubungkait permasalahan ekonomi dengan pengurusan negara. Beban rakyat bertambah akibat kebocoran atau ketirisan - kos air, letrik dan tol meningkat. Ini juga berpunca akibat kecurangan dan perjanjian memihak kepada pemodal dan membebankan rakyat samada konsesi tol lebuhraya atau janakuasa bebas (IPP).

Kita semua pengembara menempuh jalan yang sama, dan berusaha memastikan Perubahan terlaksana. Jalan yang kita tempuh ini belum lagi berani diteroka sebelumnya. Sejarah menjadi saksi betapa ianya jalan berliku; penuh dengan segala macam cabaran dan tantangan. Kita mungkin diserang dari segala arah, wakil kita mungkin sahaja diculik, namun yakinlah, kita tidak mungkin hilang arah tuju.

Seandainya kita istiqamah dengan garis besar haluan perjuangan kita akan melaksanakan perubahan sedaya upaya, insya Allah.



Dato Seri Anwar Ibrahim, Mac 8, 2009, MBSA Auditorium Shah Alam

0 comments:

 
PKR-Puchong - © 2007 Template feito por Templates para Você