REALITI UMNO

Isnin, 23 Mac 2009

Samy kekal jawatan presiden MIC

Datuk Seri S Samy Vellu hari ini berjaya mengekalkan jawatan presiden MIC bagi penggal ke-11 selepas 48 daripada 53 pencalonan untuk pencabarnya, Datuk M Muthupalaniappan ditolak.

Samy mengemukakan kertas pencalonannya pada jam 10.30 pagi, menakala Muthupalaniappan pula berbuat demikian pada jam 11 pagi.

Samy Vellu mendapat 455 pencalonan manakala pencabarnya bekas Naib Presiden MIC Datuk Muthupalaniappan hanya mendapat lima pencalonan.

Ia ekoran 48 daripada 53 pencalonan yang diperolehi oleh Muthupalaniappan ditolak kerana tidak mengikut perlembagaan parti dan undang-undang kecil pilihanraya presiden.

Mengikut perlembagaan parti itu, seorang yang mahu menjadi bertanding jawatan presiden perlu mendapat 50 pencalonan, dengan setiap pencalonan memerlukan seorang pencadang dan dua penyokong, bagi melayakkannya bertanding, lapor Bernama.

Semua pencadang dan penyokong mesti terdiri daripada pengerusi cawangan.

Seorang Presiden MIC akan dipilih oleh kira-kira 3,700 pengerusi cawangan di seluruh negara, jika ada pertandingan.

Ketua Jawatankuasa Pemandu bagi Pilihanraya Presiden MIC, Datuk K Vijayanathan mengumumkan perkara di depan kira-kira 500 penyokong Samy Vellu pada kira-kira pukul 1.45 tengah hari.

Bekas menteri Kerja Raya yang tewas di Parlimen Sungai Siput dalam pilihanraya umum 2008, menerajui parti yang mewakili kaum India sejak 1979, sebelum menjadi pemangku presiden, berikutan kematian presiden parti pada masa itu Tan Sri V Manikavasagam.

Kemenangan Samy Vellu hari ini adalah adalah sama dengan tarikh beliau menjadi ketua parti pada 1981 iaitu 28 tahun yang lalu.

Semasa membuat pengumuman itu, Vijayanathan berkata Samy Vellu mendapat 572 pencalonan dengan 117 pencalonan ditolak kerana tidak mengikut perlembagaan parti dan undang-undang kecil pilihanraya presiden.

"Muthupalaniappan mendapat 53 pencalonan tetapi 48 daripadanya ditolak atas sebab yang sama," katanya.

"Jawatankuasa Pemandu pilihanraya telah mengesahkan semua kertas-kertas pencalonan dan hasilnya kami telah menolak pencalonan dari kedua-kedua yang bertanding.

"Tugas kami adalah untuk mematuhi perlembagaan dan undang-undang kecil pilihanraya presiden dan pada akhirnya kami dapati hanya seorang calon yang layak bertanding. Kami terikat di bawah perlembagaan untuk mengisytiharkan bahawa Datuk Seri Samy Vellu sebagai presiden bagi penggal 2009-2012," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Vijaynathan berkata: "Sembilan puluh sembilan peratus pencalonan ditolak kerana duplikasi (pengerusi cawangan yang mencalonkan dua calon)".

Sambil menolak dakwaan berlaku penipuan dalam proses pencalonan, beliau berkata, peluang Muthupalaniappan adalan tipis sejak dari mula lagi.

Sementara itu, Samy Vellu dalam ucapan sempena kemenangannya mengulangi kenyataannya bahawa ini mungkin merupakan pilihanraya presiden terakhir beliau dan akan menyerahkan jawatan tertinggi MIC itu kepada seorang pemimpin "yang benar-benar berkebolehan".

Bagaimanapun, beliau tidak memperinci bila beliau akan menyerah kuasa. Pemilihan bagi semua jawatan lain - timbalan presiden, naib presiden dan 23 anggota kerja pusat -- dijangka pada September.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua cawangan, bahagian dan pengerusi perhubungan negeri yang telah bekerja kuat bagi memastikan kemenangan saya. Ini bukan sahaja kemenangan saya tetapi juga kemenangan bagi semua pemimpin akar umbi.

"Mandat ini akan dipelihara dan usaha kita bagi membina semula parti, yang kini sedang berjalan akan diteruskan. Kita juga akan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam tiga pilihanraya kecil terutama di Bukit Selambau," katanya.

Samy Vellu berkata beliau telah berada di Kedah sejak tiga minggu lepas dan yakin calon BN akan memenangi kerusi dewan undangan negeri kawasan itu.

0 comments:

 
PKR-Puchong - © 2007 Template feito por Templates para Você