REALITI UMNO

Rabu, 8 April 2009

Kenyataan Media Anwar Ibrahim Berhubung Keputusan Tiga Pilihanraya Kecil


–KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA–

8 April 2009

Alhamdulillah, saya panjatkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T di atas kemenangan pilihan raya kecil pada 7hb April 2009.

Syabas saya ucapkan kepada pengundi di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai. Sokongan yang anda berikan menjadi bukti kekuatan rakyat untuk berani berhadapan dengan kekuasaan. Undi yang telah anda berikan untuk Pakatan Rakyat menjadi saksi akan kemahuan yang kuat menuntut Perubahan.

Tahniah saya ucapkan kepada para calon dan petugas Pakatan Rakyat kerana bekerja keras untuk memastikan kejayaan hari ini. Kemantapan kerjasama di antara Parti Keadilan Rakyat, Pas dan Dap semakin hari semakin utuh.

Kemenangan di Bukit Selambau dan Bukit Gantang serta sokongan pengundi Batang Ai membuktikan rakyat masih yakin terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat untuk terus menerajui perjuangan menuntut Perubahan bagi mencipta Malaysia Baru yang adil dan saksama. Hari ini rakyat menghantar mesej yang jelas. Mereka mahukan Perubahan yang nyata, bukan sekadar janji politik untuk terus kekal berkuasa.

Kemenangan Dato’ Seri Nizar di Bukit Gantang merupakan satu referendum agar dikembalikan Kerajaan Perak yang sah. Rakyat menuntut agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihanraya diadakan di seluruh Negeri Perak.

Kepada pendukung Pakatan Rakyat di Batang Ai, kita berhasil mengungkapkan isu tanah adat dan peminggiran rakyat yang terjadi di Sarawak. Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat akan terus berjuang membawa Perubahan kepada rakyat Negeri Sarawak.

Sekali lagi kewibawaan proses pilihanraya menjadi pertikaian. Pengiraan awal yang tidak dilakukan di tempat pembuangan undi serta penggunaan helikopter untuk mengangkut membuka ruang kepada penipuan. Ini seharusnya menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja keras membawa Perubahan, bukan sahaja di Batang Ai, tetapi juga di segenap pelusuk tanah air.

Walaupun berulang kali berhadapan dengan kekerasan, fitnah dan ugutan penguasa, ianya tidak akan

menghambat kami dari menunaikan janji yang telah diberikan. Pakatan Rakyat akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan berusaha melaksanakan agenda serta dasar untuk membantu sesiapa sahaja yang terpinggir tanpa berasaskan kaum. Pakatan Rakyat tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang telah diberikan rakyat ini.

Saya menyeru rakyat Malaysia untuk tetap bersama-sama dengan agenda Perubahan dan Pakatan Rakyat. Sudah tiba masanya kita meniup nafas segar kepada demokrasi dan memperkukuhkan kembali kedaulatan undang-undang di negara ini.

ANWAR IBRAHIM

0 comments:

 
PKR-Puchong - © 2007 Template feito por Templates para Você