REALITI UMNO

Isnin, 13 April 2009

Umno Terengganu Berpecah, Dun Terengganu diminta bubar

KUALA LUMPUR, 13 APRIL (SK) -Pergelutan Umno Terengganu yang masih tidak selesai semenjak pilihanraya lalu kini nampaknya semakin memuncak apabila ada ura-ura bahawa wakil rakyat Barisan Nasional akan mengusulkan undi tidak percaya.

Mengulas perkara sedemikian, Ketua Angkatan Muda KeADILan Terengganu, Fariz Musa berkata ura-ura yang kedengaran menandakan perpecahan yang berlaku semakin serius walaupun dibawah kepimpinan Perdana Menteri baru Najib Abdul Razak.

“Ini tandanya Umno Terengganu tidak dapat diselamatkan lagi, sekiranya dulu mereka sanggup menderhaka kepada Sultan dengan menolak perlantikan Ahmad, apa lagi untuk meminta Ahmad letak jawatan,” katanya kepada Suara Keadilan Online pagi ini.

Ahmad Said, menurut Fariz, nampaknya gagal untuk melaksanakan tugasnya sebagai Menteri Besar dalam tempoh satu tahun pentadbiranya di negeri berkenaan.

Jelas Fariz, sekiranya Ahmad menjalankan tugas dengan baik, bukan sahaja rakyat malah kepimpinan Umno dan Barisan Nasional akan menyokong beliau.

“Nampaknya Ahmad perlu melakukan sesuatu untuk menstabilkan keadaan politik dan seharusnya beliau harus mengambil keputusan yang bijak bagi kebaikan negeri Terengganu,” kata Fariz yang juga Timbalan Ketua AMK Malaysia.

Fariz berkata sudah tiba masanya Ahmad membubarkan Dun Terengganu bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pemimpin.

“Saya rasa kini sudah tiba masanya Dun dibubarkan bagi rakyat mengambil keputusan untuk memilih pemimpin mereka sebelum usul tidak percaya dibawa ke sidang Dun,” katanya lagi.

Pendapat yang sama juga disuarakan oleh Adun Batu Burok dari PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang meminta agar Ahmad mengambil langkah yang sewajarnya untuk menyelesaikan krisis yang wujud antara wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dengan membubarkan Dun.

Jelas beliau yang dipetik dari akhbar, Menteri Besar itu perlu bertindak bagi mengelakkan daripada berlakunya krisis perlembagaan berikutan sokongan yang semakin menurun terhadapnya oleh ADUN BN sendiri.

0 comments:

 
PKR-Puchong - © 2007 Template feito por Templates para Você