REALITI UMNO

Rabu, 1 April 2009

Selangor saman Syabas, naikkan tarif air - malaysiakini

Selangor ingin mengambil tindakan mahkamah terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) susulan keputusan kerajaan persekutuan membenarkan syarikat itu terus beroperasi dan menaikkan tarif air di negeri itu.

"Justeru itu, berdasarkan pendirian keras yang diperlihatkan oleh kerajaan persekutuan dan kesan buruk yang bakal menyusul daripada tindakan tersebut, terutamanya terhadap kepentingan awam, maka kerajaan negeri Selangor tiada pilihan lain, sebaliknya mengambil tindakan undang-undang untuk mencari jalan penyelesaian," kata pejabat menteri besar.

Dalam satu kenyataan akhbar petang ini, Syabas didakwa tidak layak diberikan lesen kerana syarikat itu gagal menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sebagaimana dikehendaki Akta Perkhidmatan Industri Air 2006.

"Kerajaan Selangor percaya beberapa prasyarat bagi kenaikan tarif yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi belum mampu dipenuhi Syabas.

"Paling mendukacitakan, beberapa kepincangan ditemui semasa audit dilakukan dan hal ini menguatkan lagi alasan betapa Syabas tidak layak memikul tanggungjawab meneruskan operasi air," kata sekretariat media pejabat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Sehingga kini, perkhidmatan Syabas yang tertakluk pada perjanjian konsesi (CA) dilihat sangat tidak memuaskan dan gagal mencapai tanda aras atau parameter yang ditetapkan CA."

Menurutnya lagi, Syabas didapati melanggar syarat-syarat CA dan hal itu sudah dibawa kepada pengetahuan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Permohonan negeri bawah Pakatan Rakyat itu untuk membatalkan CA dengan Syabas juga telah dimaklumkan.

"Bagaimanapun, menteri berkenaan masih enggan mengambil tindakan terhadap Syabas, sebaliknya telah menyatakan hasrat untuk memberikan lesen kepada Syabas untuk meneruskan operasinya dengan alasan hak tersebut di luar kuasa kerajaan Selangor," kata pejabat menteri besar.

0 comments:

 
PKR-Puchong - © 2007 Template feito por Templates para Você